Selasa, 22 Mei 2012

Nazmi Faiz Ikat Kontrak 3 Tahun

                                                                                   


Pemain skuad Harimau Muda, Muhamad Nazmi Faiz Mansor, 18, telah mengikat kontrak selama tiga tahun dengan sebuah kelab bola sepak Portugis, Beira-Mar.
Nazmi telah melalui ujian percubaan selama tiga hari di Portugal dan telah melepasi ujian tersebut dengan jayanya.
Menurut Marco Guimaraes yang merupakan agen beliau menyatakan Nazmi dijangka akan memulakan latihan dengan pasukan tersebut pada 3 Julai akan datang.
Menurut Nazmi, ini merupakan peluang terbaik dan tidak akan mempersia-siakan peluang tersebut.
“Bermain di Eropah telah lama menjadi impian saya. Trial bersama Beira Mar adalah peluang terbaik saya dan saya telah pun berjaya laksanakannya. Saya sangat gembira serta teruja dan tidak sabar untuk memulakan perjalanan baru ini,” kata Nazmi Faiz dengan memetik dari laman web beliau, Nazmifaiz.com.
Ong Kim Swee, jurulatih pasukan Kebangsaan bawah-23 tahun berkata, kejayaan serta peluang yang diterima oleh Nazmi ini merupakan petunjuk positif kepada industri bola sepak di Malaysia.
“Ini merupakan permulaan yang baik kepada semua pemain. Saya berbangga dengan kejayaan Nazmi dan beberapa lagi pemain muda kebangsaan yang menjadi sasaran di Portugal,” kata Kim Swee dari Slovakia semalam.
Ujarnya, projek Harimau Muda telah menampakkan kejayaan menerusi latihan intensif pemain-pemain muda kebangsaan bersama pasukan Vion FC di Slovakia awal tahun ini.
“Program di Slovakia lalu telah menampakkan hasil. Kelab yang disertai oleh Nazmi bukan kelab Division Satu yang biasa, tetapi kelab yang besar dan penting di Portugal.
“Portugal berada di tangga kelima FIFA dan ini merupakan peluang kepada pemain kita untuk buktikan kepada dunia,” jelas Kim Swee.
Nazmi telah dimasukkan pada saat-saat akhir di dalam skuad kebangsaan bawah-23 sewaktu Sukan SEA di Jakarta pada November tahun lalu. Beliau diletakkan antara tunggak utama dalam misi mempertahankan pingat emas dalam kejohanan tersebut.
Difahamkan bahawa kelab Portugis tersebut telah menonton video aksi tangkas Nazmi sewaktu mewakili Malaysia dalam pusingan kelayakan akhir Olimpik Zon Asia awal tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan