Sabtu, 26 Mei 2012

Bukan Melayu boleh jadi PM asalkan Islam, kata Nik Aziz

                                                                               


MACHANG - Soal bangsa tidak perlu dipertikaikan untuk seseorang menjadi Perdana Menteri asalkan dia beragama Islam, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ini kerana perdana menteri akan mengetuai kerajaan dan memimpin umat Islam di negara ini.

"Nak bukan Melayu tidak apa, asalkan beragama Islam, mana boleh pimpin Islam kalau tidak Islam. (Contohnya) negeri demokrasi, adakah (jawatan) diberi kepada komunis, negeri komunis pula adakah dia akan beri kepada orang demokrasi? Tak ada... negeri komunis maka (pemimpin) komunis yang pegang, negeri demokrasi maka demokrasi pegang.

"Negeri Islam, maka orang Islamlah pegang, jadi bangsa apa pun tak peduli," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan di Markaz Dewan Ulama (MADU) Labok, di sini, hari ini.

Pengerusi DAP, Karpal Singh sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan terus berjuang bagi memastikan bukan Melayu memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dengan alasan tiada undang-undang yang menghalang orang bukan Melayu untuk memegang jawatan tersebut. Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz pula menyifatkan kenyataan Karpal itu pendapat peribadi dan yakin ia tidak menjejas sokongan kepada Pas.

"Cuma kita melihat dalam konteks semasa, orang Melayu Muslim (adalah) majoriti di negara ini, jadi kalau Karpal sebut mengenai bangsa, kita tak kisah tapi kalau bukan Muslim nak jadi Perdana Menteri, itu kita tolaklah," katanya.

Jumaat, 25 Mei 2012

Misha Omar Tangguh Kahwin Sebab Bakal Suami Sibuk

                                                                                   


KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Misha Omar, 30, terpaksa menangguhkan perkawinannya dengan Firos Ezzwan Rossly, 29, yang sepatutnya berlangsung selepas Hari Raya Aidil Fitri tahun ini kerana bakal suaminya itu kini sedang sibuk menjalani latihan sebagai juruterbang.
Menurut penyanyi yang kini sedang popular menerusi lagu berjudul Angin Syurga itu, tunang dan bakal suaminya yang juga seorang juruterbang Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) terpaksa menjalani latihan penerbangan untuk pesawat Airbus 380 selama enam hingga lapan bulan.
“Insya-Allah kalau tidak ada aral melintang majlis perkahwinan kami mungkin akan diadakan pada sekitar bulan Januari atau Februari tahun depan. Perkahwinan ini ditunda kerana bagi memberi peluang kepada bakal suami saya itu menghabiskan latihan dalam kerjayanya itu dahulu.
“Saya tidak mahulah dia berasa stress atau tertekan kerana melangsungkan perkahwinan dalam keadaan kerjayanya yang belum selesai. Tidak mahulah saya selepas habis bernikah, suami saya terus bergegas untuk menghabiskan latihannya itu,” katanya semasa ditemui di sini semalam.
Misha atau nama sebenarnya Samihah Omar menjelaskan penangguhan perkahwinannya itu sewaktu ditemui para wartawan pada majlis mengumumkannya sebagai jurucakap barangan kosmetik terkemuka Shiseido yang mengikat kontrak dengannya selama sembilan bulan.
Sementara itu, Firos Ezzwan Rossly yang ditemui pada majlis tersebut berkata, dia bersyukur kerana bakal isterinya itu memahami tugasannya sebagai juruterbang MAS dan akan cuba menghabiskan latihannya di Lapangan Terbang Subang bermula sejak bulan lalu.
“Sepatutnya kami bakal melangsungkan perkahwinan sekitar sebelum bulan September ini atau selepas Hari Raya puasa tetapi saya terpaksa pula menjalani kursus untuk pesawat Airbus 380. Pada mulanya saya ingat latihan selama tiga bulan tetapi ia dilanjutkan sehingga lapan bulan,” ujarnya.
Pada majlis itu, Misha sempat memperkenalkan album single terbarunya hasil kolaborasi dengan Shiseido yang mengandungi sebuah lagu baru berjudul Angin Syurga ciptaan Datuk M. Nasir dan lirik nukilan Buddhi Hekayat serta dua lagu lama iaitu Bunga-Bunga Cinta dan Aidilfitri.

Selasa, 22 Mei 2012

Nazmi Faiz Ikat Kontrak 3 Tahun

                                                                                   


Pemain skuad Harimau Muda, Muhamad Nazmi Faiz Mansor, 18, telah mengikat kontrak selama tiga tahun dengan sebuah kelab bola sepak Portugis, Beira-Mar.
Nazmi telah melalui ujian percubaan selama tiga hari di Portugal dan telah melepasi ujian tersebut dengan jayanya.
Menurut Marco Guimaraes yang merupakan agen beliau menyatakan Nazmi dijangka akan memulakan latihan dengan pasukan tersebut pada 3 Julai akan datang.
Menurut Nazmi, ini merupakan peluang terbaik dan tidak akan mempersia-siakan peluang tersebut.
“Bermain di Eropah telah lama menjadi impian saya. Trial bersama Beira Mar adalah peluang terbaik saya dan saya telah pun berjaya laksanakannya. Saya sangat gembira serta teruja dan tidak sabar untuk memulakan perjalanan baru ini,” kata Nazmi Faiz dengan memetik dari laman web beliau, Nazmifaiz.com.
Ong Kim Swee, jurulatih pasukan Kebangsaan bawah-23 tahun berkata, kejayaan serta peluang yang diterima oleh Nazmi ini merupakan petunjuk positif kepada industri bola sepak di Malaysia.
“Ini merupakan permulaan yang baik kepada semua pemain. Saya berbangga dengan kejayaan Nazmi dan beberapa lagi pemain muda kebangsaan yang menjadi sasaran di Portugal,” kata Kim Swee dari Slovakia semalam.
Ujarnya, projek Harimau Muda telah menampakkan kejayaan menerusi latihan intensif pemain-pemain muda kebangsaan bersama pasukan Vion FC di Slovakia awal tahun ini.
“Program di Slovakia lalu telah menampakkan hasil. Kelab yang disertai oleh Nazmi bukan kelab Division Satu yang biasa, tetapi kelab yang besar dan penting di Portugal.
“Portugal berada di tangga kelima FIFA dan ini merupakan peluang kepada pemain kita untuk buktikan kepada dunia,” jelas Kim Swee.
Nazmi telah dimasukkan pada saat-saat akhir di dalam skuad kebangsaan bawah-23 sewaktu Sukan SEA di Jakarta pada November tahun lalu. Beliau diletakkan antara tunggak utama dalam misi mempertahankan pingat emas dalam kejohanan tersebut.
Difahamkan bahawa kelab Portugis tersebut telah menonton video aksi tangkas Nazmi sewaktu mewakili Malaysia dalam pusingan kelayakan akhir Olimpik Zon Asia awal tahun ini.

Rabu, 16 Mei 2012

Filem The Avengers kutip lebih RM3 bilion

                                                                     


LOS ANGELES - Filem The Avengers memperoleh kutipan pecah panggung lebih AS$1 bilion (RM3.08 bilion) di seluruh dunia, kata beberapa pegawai kelmarin.
Menurut laman industri IMDb, filem tersebut memperoleh kutipan sebanyak AS$$1,002,082 (RM3,083,406).
Menurut agensi Exhibitor Relations yang mengumpulkan jumlah kutipan tiket, filem tersebut mengutip sebanyak AS$207 juta (RM638.3 juta) pada tayangan pembukaan dua minggu lalu menambah kutipan sebanyak AS$103.1 juta (RM317.8 juta) pada hujung minggu lepas di Amerika Utara.
Filem arahan Joss Whedon dengan kerjasama pengeluar komik terkenal, Marvel itu diadaptasi daripada komik bersiri paling popular, The Avengers.
Ia mengisahkan watak Iron Man, The Incredible Hulk, Thor, Captain America, Hawkeye dan Black Widow mengalahkan kuasa jahat yang diketuai oleh Loki.

Air kencing perenang jadi racun

Gambar Hiasan
                                                                     

HAMBURG: Air kencing perenang dikenal pasti punca kematian beratus-ratus ekor ikan di sebuah tasik di utara Jerman, kata jurucakap persatuan pemancing tempatan.

Akhbar Korean Herald memetik jurucakap organisasi itu sebagai berkata unsur fosfat dalam air kencing manusia menjadi punca masalah di Tasik Eichbaum berdekatan Hamburg, Jerman.
“Perenang yang kencing dalam tasik itu menyebabkan unsur fosfat membantu peningkatan banyak rumpair. Seorang perenang membuang air kecil sebanyak satu liter ketika berenang sehari yang menjadi racun kepada ikan.
“Sehingga kini 500 ekor ikan ditemui mati dan keadaan ini dijangka berterusan,” kata jurucakap Persatuan Pemancing Hamburg kepada akhbar Bild yang dipetik Time.

Sesetengah pihak menyalahkan peluncur ais di atas kematian ikan itu kerana menjalankan aktiviti meluncur ais atas tasik beku ketika musim sejuk sedangkan pada ketika itu ikan sedang dalam proses rehat.

Persatuan Pemancing sudah lama bertelagah dengan perenang di tasik itu jadi angka ikan yang mati itu mungkin terlalu tinggi, lapor The Local.

Penduduk dilarang berada di tasik itu kerana tahap rumpair tinggi, tetapi Pihak Berkuasa Alam Sekitar dan Pembangunan Bandar (BSU) kini berusaha membuka semula tasik bagi perenang sebelum musim panas bermula.
Bagi membantu menyelesaikan permasalahan itu, BSU meminta universiti tempatan menguji teori kematian ikan disebabkan air kencing itu, menurut The Local.

BSU percaya kematian ikan berpunca daripada sebab biasa dan kegiatan luncur ais.

Selasa, 15 Mei 2012

Kepala Pelakon Yatt Hamzah Melekat Di Sejadah Ketika Solat Taubat

                                                                         


Pelakon Yatt Hamzah, 32 terkejut apabila kepalanya melekat lebih setengah jam pada sejadah ketika dia melakukan solat taubat baru-baru ini. Dalam sujud yang lama itu, Yatt berkata, dia nampak jelas setiap wanita mendedahkan aurat dipanggang api neraka yang amat dahsyat.
“Yatt menangis sambil menggigil ketakutan menyaksikan azab yang diterima wanita tidak menutup aurat.”
Sebelum itu dia bersama rakan menghadiri usrah pada 5 April lalu. Usrah itu berjaya menimbulkan keinsafan dirinya kerana sering mangabaikan solat selain mendedahkan aurat semata-mata mengejar glamour sebagai artis popular.
“Setiba di rumah pada petang itu Yatt terus buat solat taubat.”
Peliknya, kata Yatt, ketika dia melakukan sujud terakhir kepalanya tidak dapat diangkat. Mau tak mau, kata Yatt lagi, dia terus sujud memohon keampunan Allah sambil menangis.
Dalam sujud yang panjang itulah Yatt nampak jelas wanita yang mendedahkan aurat diseksa Allah di neraka. Tangisan Yatt makin kuat melihat gambaran neraka yang amat mengerikan itu.
“Yatt nampak semua wanita itu digantung rambutnya pada api neraka.”
“Semua wanita itu meraung minta Allah kembalikan mereka ke dunia untuk bertaubat dan memakai tudung.”
Malam itu kata Yatt dia tertidur di atas sejadah yang dibaluti telekung hingga ke subuh.
Sumber: IMAM MUDA 3

Isteri Jimmy Shanley Ditampar Ibu Sendiri

                                                               


SHAH ALAM – Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam diberitahu isteri pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley, Nursuhaila Eliani Suhaimy pernah ditampar ibunya sendiri, Oktober tahun lalu.
Dalam keterangannya kepada mahkamah, Jimmy mendakwa, ibu mentuanya menampar defendan, Nursuhaila pada 1 Oktober 2011 kerana tidak tahan dengan sikap dan perangai anaknya itu.
Menurut Jimmy selaku plaintif, selepas kejadian itu, pada hari yang sama ibu mentuanya lari dari rumah dan menghubunginya untuk tumpang bermalam di rumah.
“Ibu mentua hubungi saya untuk tumpang bermalam kerana tidak ada tempat lain untuk pergi,” terang Jimmy ketika menjawab soalan peguam syarie Sa’adiah Din yang mewakili Nursuhaila pada sesi soal balas perbicaraan tuntutan nusyuz dan kembali taat.
Tambah bekas pengacara Trek Selebriti dan Akademi Fantasia itu, dia berjumpa dengan isterinya pada 4 Oktober 2011 selepas ibu mentuanya memaklumkan defendan mahu berjumpanya.
“Menurut ibu mentua, isteri nak jumpa saya untuk minta cerai dan memujuk ibunya pulang ke rumah.
“Pada 4 Oktober 2011, isteri datang ke rumah saya meminta maaf dan minta cerai serta tidak mahu kes ini berpanjangan,” katanya.
Bagaimanapun, Jimmy berkata dia hanya mendengar saja penjelasan Nursuhaila.
Pada prosiding semalam juga, Jimmy tidak menafikan dia pernah bertunang dengan orang lain, namun pertunangan itu putus sebelum dia bertunang dengan Nursuhaila.
Jimmy juga memberitahu tiada benda milik Nursuhaila yang dia ambil dan perlu dipulangkan ketika merujuk khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Nursuhaila kepadanya berbunyi ‘Bagi balik harta benda I dan tinggalkan I’.
“Tidak ada benda dia yang saya ambil kecuali kereta yang ibu bapa dia beri untuk pergi kerja,” katanya.
Pasangan itu bernikah pada 1 Oktober 2010.
Jimmy, 31, atau nama sebenarnya, Jimmy Shanley Nor Jahan Salleh dan Nursuhaila, 25, kini dikurniakan seorang anak perempuan, Zahrah Shanley yang lahir pada 24 Jun tahun lalu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Saharuddin Selamat bersambung 19 Julai 2012.