Rabu, 2 Mei 2012

Ditembak Kerana Lambat Pesan Makanan

                                                                     


New York – Hanya kerana mengambil masa yang lama untuk memesan makanan, seorang penolong penerbit rancangan bual bicara The View, Lourdes Guillen, 25, telah ditembak oleh tiga samseng.
Kejadian berlaku di sebuah kawasan sibuk di Brooklyn pada pukul 5 pagi.
Ketika itu, Guillen bersama sepupu-sepupunya iaitu Juan Medina dan Ramali Rodriquezs telah mengunjungi sebuah kedai makan di situ bagi meraikan hari terakhir Medina di bandar berkenaan sebelum dia berangkat pulang ke Republik Dominica.
Namun mereka telah membangkitkan kemarahan tiga orang samseng di situ selepas mengambil masa yang lama untuk memesan makanan.
Salah seorang daripada samseng itu telah bertengkar dengan Medina, sebelum dia mengeluarkan senjata dan menembak tepat ke perut Medina sebanyak dua kali.
Guillen kemudiannya bertindak melindungi Medina, namun akhirnya dia juga telah ditembak di bahagian abdomen.
Wanita tersebut bagaimanapun berjaya diselamatkan namun Medina kini berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan selama empat jam.
Dalam pada itu, Guillen ketika memaklumkan kepada akhbar New York Post berkata, dia terpaksa melindungi sepupunya itu kerana percaya jika Medina terkena tembakan kali ketiga berturut-turut, maka dia pasti akan menemui ajal.
“Saya cuba merayu kepada penjenayah itu supaya berhenti menembak namun mereka tidak mengendahkannya.
“Selepas terkena tembakan di bahagian abdomen, saya jatuh di sebelah sepupu saya. Saya tidak berasa sakit, namun ia menyukarkan saya bernafas,’’ katanya .
Kes itu kini disiasat polis.
(credit=Mynewshub)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan